Tuesday 15 June 2010

Perginya Orang Tersayang

Cukup sedih bila mengenangkan pemergian seorang insan. Pemergian yang meluputkan pandangan jasadnya di hadapan mata, tutur bicaranya, nasihatnya, gelak tawanya.
Kematian adalah suatu episode akhir dalam kehidupan dunia yang pasti dilalui oleh setiap insan, pasti. Tidak kira yang tua bongkok, atau yang muda sihat, tidak kira yang soleh mengharapkan bertemu tuhannya atau yang fasik sentiasa menjauhkan diri dari perkataan mati. Semua akan menghadapinya, tanpa dijangka, tanpa diketahui, tanpa disedari, samada bersedia atau tidak kita kita ke arahnya. Firman Allah s.w.t;
"كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ"
"Semua yang hidup (pasti) akan merasai mati." (al-Imran, 185)

Beberapa episode kematian

"Mari kita semua hadiahkan bacaan surah Al-fatihah kepada ulama besar yang telah wafat pagi tadi, Al-Habib Abdul Kadir As-Saqqaf" Pesan Sheikh Jamal sebelum memulakan kelas hari itu.
Saya tersentak mendengar berita tersebut. Seorang ulama yang digelar wali kutub, orang yang paling dekat dengan Allah, telah pergi meninggalkan kita. Beliau merupakan antara guru awal Al-habib Ali Al-Jufri hafizahuLLAH. Dialah antara asbab Allah menyayangi hamba-hambanya, dialah asbab Allah tidak menurunkan bala kepada hamba-hambanya. Wafatnya seorang ulama adalah tanda akhir zaman yang jelas. Tanda Allah mencabut ilmu sedikit demi sedikit dari Ummat Nabi Muhammad s.a.w.
Baru sahaja kita dikejutkan dengan pemergian Sheikhul Azhar, Sheikh Ar-rahil Muhammad Syed Tantawi rahimahuLLAH, kita dihadapkan pula dengan kematian ulama besar dari Yaman ini. Benar sabda bagina Rasulullah s.a.w;
عن ‏ ‏عبد الله بن عمرو بن العاص ‏ ‏قال سمعت رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يقول ‏" ‏إن الله لا يقبض العلم ‏ ‏انتزاعا ‏ ‏ينتزعه من العباد ولكن يقبض العلم ‏ ‏بقبض ‏ ‏العلماء"

"Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama" (H.R Bukhari Muslim)



Tidak cukup dengan berita-berita tersebut pada hari yang sama perginya Al-Habib Abd Qadir RahimahuLLAH berlaku satu tragedi yang menyayat hati kepada salah seorang dari sahabat seperjuangan di Mesir. Hafizul Husna, seorang sahabat saya dari Perak, penuntut kuliah Bahasa Arab, telah pergi meninggalkan kita dalam sebuah kemalangan motosikal di hayyu sabi'. Walaupun saya kurang mengenali beliau secara dekat, kami selalu bersembang dan bertegur sapa, dan sewaktu akhir hayatnya saya sempat melihat beliau membonceng motosikal ke kuliah pengajian di Universiti. Semoga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau di bersama-sama para Syuhada yang mati di jalan ALLAH seperti sabda Rasul s.a.w
"من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع"

"Siapa yang keluar dalam menuntut ilmu maka dia berada di jalan ALLAH hinggalah dia pulang"
(H.R. Tirmizi)

Tazkirah Kematian

Berita-berita yang sampai ke pendengaran kita, bukan sekadar berita dari mulut-mulut orang ramai, yang tersiar di akhbar atau blog-blog semata-mata. Berita ini adalah tazkirah dari ALLAH, peringatan dari ALLAH, cara ALLAH berkomunikasi dengan manusia, melalui kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa.
Kematian mengingatkan seseorang tentang persiapan hidup di dunia menghadapi detik terputusnya amalan.
Kematian mengingatkan seseorang dahsyatnya hari di alam barzakah, alam kubur jika tidak dipersiapkan dengan amalan.
Kematian mengingatkan tentang apa yang sedang kita lakukan di dunia, adakah perbuatan seharian kita masih berada di landasan yang benar, atau sudah terpesong sedikit, atau sudah terpesong jauh.
Kematian mengingatkan kita tentang dunia, yang menipu, kesenangan, keenakan, kelazatan, keseronokan yang menipu, yang memesongkan manusia dari mengingati ALLAH, yang menjauhkan manusia dari jalan ALLAH, yang menjadi asbab manusia mati di jalan yang tidak elok.
Kematian mengingatkan kita tentang amalan-amalan kita, sudah cukupkah, sudah sempurnakah, sudah memenuhi syaratkah, sudah bersungguh-sungguh atau tidak?
Kematian mengingatkan seseorang tentang umur, sudah sejauh mana kita gunakan nikmat detik-detik masa ini untuk membuat ketaatan, menjauhi kemungkaran, kerana mati tidak mengira umur, mati tidak mengenal muda atau tua, mati tidak mengenal seseorang dalam kelalaian atau ketaatan.
Moga Kematian dapat mengingatkan kita, supaya tidak tertipu dengan dunia. Sabda Rasulullah s.a.w;

"أكثروا ذكر هادم اللذات"
"Perbanyakkanlah mengingati 'perkara yang menghilangkan kelazatan' (mati)"
(H.R Nasai)


Benarlah firman ALLAH s.w.t sambungan dari ayat surah Al-Imran ayat 185;
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
(ال عمران 185)
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
Keseronokan dan kesedapan dunia menjauhkan kita dari mengingati mati, mengingati ALLAH mengingati hari akhirat. Nikmat yang kita kecapi di dunia bukan nikmat yang sebenar, harta kekayaan, pangkat, anak dan isteri, hanyalah nikmat sementara yang menipu jika tidak digunakan mengikut cara dan jalan yang sepatutnya. Nikmat yang sebenar dan hakiki adalah nikmat yang akan kita kecapi di syurga.
Keletihan dan kepayahan dunia mendekatkan diri kita kepada menghayati kehidupan, mengingatkan diri kita kepad matlamat hidup, perjalanan hidup sebagai seorang hamba ALLAH yang bermusafir di dunia, sementara. Kesusahan yang kita tempuhi di dunia juga bukan hakikin bukan sebenarnya. Kesusahan yang sebenar adalah kesusahan menghadapi neraka ALLAH yang dipenuhi azab seksa yang berat menanti.
ALLAH pimpinlah kami ke jalan yang benar, jadikanlah kami orang yang sentiasa mengingati mati dan mempersiapkan diri ke arahnya. Benarlah kata manusia yang paling bijak di atas muka bumi ini semenjak penciptaan manusia, Nabi Muhammad s.a.w.
"Orang yang bijak ialah orang yang menahan nafsunya (dari menikmati kesedapan dunia), dan beramal untuk perkara selepas mati, orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan berangan-berangan kepada ALLAH (untuk mendapat keampunan tetapi tidak berusaha)" (H.R Tirmizi)

0 comments:

Post a Comment